bisnes

Beri cuti tanpa gaji

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

MALAYSIA Aviation Group (MAG) menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuat kuasa bulan depan.

Syarikat induk Malaysia Airlines Bhd itu dalam satu kenyataan berkata, kakitangan diberi pilihan secara sukarela untuk mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu hingga tiga bulan.

“Kami mengesahkan MAG menawarkan pilihan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada kakitangan.

“Langkah ini selaras dengan pengurangan operasi susulan pengurusan kapasiti berikutan penularan Covid-19,” katanya.

Selasa lalu, MAG dilapor mengurangkan 10 peratus gaji serta elaun pengurusan kanan semua syarikat di bawahnya selama tiga bulan bermula bulan ini.

Selain Malaysia Airlines, MAG adalah syarikat induk kepada Firefly, MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy, perkhidmatan catar penerbangan umrah dan haji, Amal, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.

Pengurangan itu sebagai langkah permulaan yang dilaksanakan selama tiga bulan dan jika aliran kewangan kumpulan itu masih terjejas dengan kesan Covid-19.

Pengurangan gaji itu hanya membabitkan pengurusan kanan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail berkata, langkah pemotongan kos itu bagi menangani permintaan lemah perjalanan udara akibat Covid-19.

“Malangnya, Covid-19 menjejaskan momentum pertumbuhan kumpulan. Kita perlu bersatu memerangi krisis ini. Sembilan minggu berlalu, aliran tunai bukan sahaja menjejaskan MAG, tetapi juga industri (penerbangan) secara keseluruhan,” katanya menerusi video kepada kakitangan MAG Selasa lalu.

Dalam video berdurasi tujuh setengah minit itu, Izham berkata, MAG juga tidak terkecuali dengan tempias kesan Covid-19.

“Oleh itu, tindakan drastik perlu diambil oleh kita semua. Saya berhubung lebih kerap dengan anda pada hari dan minggu mendatang, mengenai apa yang perlu kita lakukan.

“Ia bukan saja menjejaskan syarikat penerbangan, tetapi juga hotel, peruncit, tempat pasaran dan pusat membeli-belah,” katanya.

Beberapa syarikat penerbangan serantau mengambil langkah bagi menangani kesan kelembapan permintaan perjalanan udara.

Singapore Airlines (SIA) memotong gaji pengurusan kanan 10 hingga 15 peratus bermula 1 Mac lalu dan menawarkan skim cuti tanpa gaji sukarela kepada pekerja.

Malindo Air pula mengenakan potongan gaji 50 peratus ke atas kakitangannya sebagai tambahan kepada dua minggu cuti tanpa gaji untuk menampung impak Covid-19.

Syarikat penerbangan Australia, Qantas menjalankan langkah membendung kos operasi perniagaannya dengan menggantung kebanyakan angkatan pesawat penumpang Airbus A380.

Qantas dan cabang syarikat penerbangan tambang rendahnya, Jetstar mengurangkan penerbangan antarabangsa 25 peratus untuk tempoh enam bulan akan datang, terutama bagi laluan ke Asia dan Amerika Syarikat (AS).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 7:20am
    d