bisnes

MAB tidak buang pekerja

MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) tidak akan melakukan pembuangan pekerja walaupun berdepan tempoh sukar akibat penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan sektor penerbangan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan ber kata, tindakan pembuangan pekerja adalah langkah terakhir yang akan difikirkan oleh MAB.

“Buat masa ini, tiada keperluan bagi MAB melakukan pembuangan pekerja. Kementerian menasihatkan pihak majikan mengambil tindakan seperti mematuhi peruntukan undang-undang perburuhan, perjanjian kolektif sekiranya ada, dan Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan (COC).

“Pengurusan MAB juga perlu meneruskan sesi libat urus dengan pekerja bagi memaklumkan perkembangan terkini berkaitan wabak berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam

Menurutnya, pihaknya mengadakan mesyuarat bersama pengurusan MAB pada 11 Mac lalu yang antara lain menjelaskan mengenai tindakan diambil bagi menghadapi wabak Covid-19.

“Kementerian dimaklumkan mengenai beberapa tindakan awal diambil oleh MAB sejak berlakunya penularan virus Covid-19 antaranya penerangan kepada semua pekerja oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat melalui sistem eVoice dan sesi libat urus pada 10 Mac 2020.

“Bagaimanapun, MAB memaklumkan proses lantikan baru dan kenaikan pangkat akan dibekukan.

“Malah, pekerja digalakkan mengambil cuti tidak berbayar secara sukarela untuk tiga bulan atau cuti tidak berbayar lima hari sebulan untuk tiga bulan,” katanya.

Menurutnya, kementerian sentiasa memantau dan menasihatkan mana-mana majikan dalam setiap tindakan yang akan diambil lanjutan daripada penularan virus Covid-19 membabitkan kebajikan pekerja.

“Ini bagi memastikan suasana keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan kekal sihat dan juga kondusif tanpa menjejaskan kebajikan pekerja serta kelangsungan syarikat,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia Aviation Group (MAG) syarikat induk MAB dalam satu kenyataannya memaklumkan menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuat kuasa bulan depan.

Selain Malaysia Airlines, MAG syarikat induk kepada Firefly, MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy, perkhidmatan penerbangan umrah dan haji Amal, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 8:54pm
    d