bisnes

Sasar kuasai 5% pasaran pelincir

Oleh Lizam Ridzuan

GLIDE Techonology Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar utama minyak enjin kenderaan jenama Glide Lubricants menyasarkan untuk mencapai lima peratus penguasaan pasaran minyak pelincir tempatan dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhazli Muhamad berkata, buat masa ini, syarikat menguasai kira-kira satu peratus daripada pasaran dan pengenalan beberapa produk baharu dijangka meningkatkan jumlah pegangan berkenaan.

“Kami mula menumpukan pasaran produk komersial pada 2018 dan hasilnya, kami merekodkan peningkatan jualan sehingga 40 peratus bagi 2019.

“Selain kenderaan petrol dan diesel, kami juga menawarkan minyak enjin motosikal, industri, produk khas, gear dan transmisi,” katanya pada majlis pengenalan wajah baru produk jenama itu di sini.

Selain berwajah baharu, syarikat turut tampil dengan motto terkini iaitu Beyond Expectation sebagai misi syarikat yang mahu meluaskan penjualan produk bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menurut Muhazli, dua produk baharu iaitu MaxiGlide Beyond SAE 0W-16 dan MaxiGlide Beyond SAE 0W-20 menambah rangkaian produk minyak pelincir sintetik penuh Glide Lubricants yang terdapat di negara ini.

“Maxiglide Beyond SAE 0W16 dan SAE 0W20 menyediakan coating effect hasil penggunaan teknologi khas bagi meningkatkan lagi perlindungan antihaus, karat dan mengurangkan haba supaya enjin dapat berfungsi dengan lebih efisien.

“Minyak enjin multigred dengan kelikatan yang rendah ini juga baik untuk keadaan enjin ketika baru mula dihidupkan supaya enjin bergerak dengan lancar,” katanya.

Menurut Muhazli, sejumlah 50,000 liter minyak enjin baharu ini akan ditawarkan di pasaran tempatan dan jumlahnya akan dipertingkatkan bergantung kepada permintaan.

“Minyak ini kami hasilkan sendiri melalui formulasi yang dibuat mengikut kesesuaian cuaca dan model kenderaan, terutama buat enjin tempatan.

Sebelum dikeluarkan, kami lakukan ujian kualiti serta yang berkaitan terhadap minyak baharu ini membabitkan perjalanan 100,000 kilometer,” katanya.

Syarikat yang sudah beroperasi sejak 2007 itu turut mengeksport minyak pelincir ke Jepun dengan nilai dagangan sekitar RM2 hingga RM3 juta setahun sejak enam tahun lalu.

“Bagi mengukuhkan lagi jenama dan kualiti produk, kami melabur lebih RM1 juta untuk mendapatkan kelengkapan bagi makmal penyelidikan dan penghasilan formulasi pelincir di kilang kami di Shah Alam,” katanya.

MaxiGlide Beyond SAE 0W-16 dijual pada harga RM190 manakala MaxiGlide Beyond SAE 0W-20 pula berharga RM170 dan boleh diperoleh daripada pengedar-pengedar sah Glide Lubricants di seluruh Malaysia.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:30am
d