bisnes

Taraf Nusantara bangun BBSAP 1,012 ekar

PEMAJU hartanah, Taraf Nusantara Sdn Bhd komited dalam menyediakan rumah mampu milik dengan projek pembangunan kediaman Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP).

Projek kediaman di Sitiawan yang berkeluasan 409 hektar (1,012 ekar) itu membabitkan lima fasa yang merangkumi 10,500 unit kediaman yang terdiri daripada model semi-D dan teres.

Pengurus Jualan Taraf Nusantara, Farid Omar berkata, BBSAP adalah pembangunan kediaman mampu milik yang menyasarkan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, dengan penetapan harga sesuai serta kemudahan menarik disediakan, BBSAP juga mampu memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, mereka yang mahu menaik taraf kediaman dan baru memulakan kehidupan berkeluarga.

“BBSAP dijangka menjadi nadi baharu di daerah Manjung yang mempunyai ciri pembangunan terancang yang dilengkapi pelbagai kemudahan infrastruktur dan komersial.

“Pembangunan bandar baru ini berada di lokasi strategik, hanya mengambil masa 15 minit perjalanan dari bandar Manjung dan terletak kira-kira empat kilometer dari Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang hanya mengambil masa 90 minit untuk ke Kuala Lumpur apabila lebuh raya itu siap sepenuhnya nanti,” katanya pada majlis pelancaran di sini.

Farid berkata, antara kemudahan yang terdapat di kawasan perumahan berkenaan ialah kolam renang bertaraf Olimpik, lapangan golf, taman permainan kanak-kanak, taman hijau, gelanggang futsal, padang bola, sekolah, masjid, laluan joging dan basikal serta Dewan Badminton Misbun Sidek yang dalam pembinaan.

Katanya, rumah teres dijual dengan harga permulaan RM135,000 manakala unit rumah semi-D pula pada harga bermula RM188,000 dengan dua jenis kediaman itu mempunyai tiga bilik dan dua bilik air.

“BBSAP menawarkan rumah teres dengan keluasan bermula daripada 900 kaki persegi hingga 2,600 kaki persegi manakala rumah semi-D pula bermula 1,920 kaki persegi hingga 3,000 kaki persegi.

“Dua fasa sudah selesai pembinaan dan sudah dapat Certificate of Completion and Compliance (CCC),” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:40am
d