bisnes

Urus harta pusaka, hibah RM600 juta

WASIYYAH Shoppe Bhd, syarikat amanah patuh syariah peneraju di Malaysia, mengumumkan nilai harta pusaka dan hibah yang diuruskannya sudah mencecah RM600 juta.

Firma itu dalam satu kenyataan berkata, sejak beroperasi pada 2004, 350 kes pusaka diselesaikan dalam tempoh purata antara tiga hingga lapan bulan.

Bagi kes hibah pula, 300 kes diselesaikan dengan nilai harta hibah diterima waris pula mencecah RM210 juta, menjadikan nilai kes diuruskan syarikat berjumlah RM810 juta.

“Kelebihan utama Wasiyyah Shoppe ialah kami satu-satunya syarikat amanah patuh syariah yang mampu menguruskan kes harta pusaka dan hibah tanpa waris perlu membayar fi, tanpa harta pusaka dipotong walau satu sen pun atau sekiranya adapun fi, ia hanya jumlah minimum,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin.

Sehingga 31 Disember 2019, lebih dari 65,000 menggunakan perkhidmatan perancangan harta dan pengurusan pusakanya.

“Daripada jumlah itu, hampir 35,000 menggunakan perkhidmatan hibah, manakala bakinya menggunakan perkhidmatan pengurusan harta pusaka kami.

“Nilai harta pusaka yang dijangka bakal diuruskan mencecah RM25 bilion, manakala nilai harta hibah yang bakal diuruskan pula mencecah RM10 bilion,” kata Ariffin.

Dengan nilai kes yang berjaya diselesaikan berjumlah RM810 juta dan nilai kes pelanggan sedia ada mencecah RM35 bilion, Wasiyyah Shoppe menyasarkan nilai harta pusaka dan hibah keseluruhan yang bakal diuruskan menjelang 2022 mampu mencecah sehingga RM80 bilion.

“Inilah matlamat penubuhan. Kami ingin membantu umat Islam merancang harta dan mengurus pusaka mengikut hukum syarak sepenuhnya tetapi dalam masa yang sama tidak membebankan waris dari segi fi pengurusan pusaka.

“Ini kerana bagi pelanggan yang sudah merancang dengan baik semasa hidupnya, kebanyakan kes pusaka dan hibah mereka tiada fi dikenakan kepada waris atau harta pusaka itu sendiri,” tambah Ariffin.

Dengan nilai kes diselesaikan berjumlah RM810 juta dan nilai kes pelanggan sedia ada mencecah RM35 bilion, Wasiyyah Shoppe menyasarkan nilai harta pusaka dan hibah keseluruhan yang bakal diuruskan menjelang 2022 mampu mencecah RM80 bilion.

Wasiyyah Shoppe yakin sasaran ini mampu dicapai kerana faktor kesedaran umat Islam yang semakin meningkat mengenai kepentingan perancangan harta di samping pertambahan jumlah perunding profesionalnya yang mencecah 2000 orang di seluruh Malaysia.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 7:00am
d