bisnes

FGV Prodata dapat kontrak

Oleh BERNAMA

FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata), anak syarikat FGV Holdings Bhd meraih kontrak untuk membekalkan, menghantar dan memasang menara telekomunikasi dan sampingannya untuk menyediakan perkhidmatan selular awam bagi projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Projek NFCP 1 adalah sebahagian daripada usaha SKMM untuk merancang dan melaksanakan penyediaan perkhidmatan yang sejagat di Malaysia.

Kemudahan dan perkhidmatan itu akan digunakan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, meliputi 93 daerah di lapan negeri dengan sejumlah 152 tapak dan sasaran menyediakan jaringan digital kepada kira-kira 40,000 penduduk.

“FGV berbangga FGV Prodata menjadi sebahagian daripada projek ini untuk menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Ini adalah pengiktirafan kepada FGV Prodata yang berhasrat menjadi penggiat lebih penting dalam industri telekomunikasi dengan menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Haris Fadzilah Hassan dalam satu kenyataan.

Kontrak itu sejajar dengan perjalanan transformasi FGV Group untuk mengembangkan bidang pertumbuhan baharu untuk mewujudkan lebih banyak nilai, katanya, tetapi tidak mendedahkan nilai projek tersebut.

FGV Prodata adalah syarikat penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan khusus dalam menyatukan komponen ICT kepada sistem yang cekap dan bersepadu.

FGV Prodata dipilih oleh SKMM sebagai satu daripada empat Penyedia Perkhidmatan Sejagat yang Ditetapkan (DUSP) dan diberi tanggungjawab kepada sejumlah 39 tapak, iaitu 26 di Sabah dan 13 di Terengganu. Tempoh pelaksanaannya ialah enam bulan dari 15 Februari lalu.

Projek ini menambah kepada pencapaian FGV Prodata selepas memperoleh lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP) daripada SKMM pada 2013.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 6:00am
d