bisnes

Dasar lindung ekonomi

Oleh BERNAMA

KERAJAAN dijangka memperkenal dasar monetari dan rangsangan fiskal tambahan tidak lama lagi untuk melindungi ekonomi dari risiko berkaitan Covid-19, menurut penganalisis.

Kemungkinan itu tidak boleh ditolak berdasarkan prospek ekonomi negara yang terjejas oleh kejatuhan harga minyak mentah dalam keadaan pergolakan pasaran kewangan global.

Kerajaan memperkenal beberapa langkah seperti mengurangkan 25 mata asas (bps) dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.50 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 Mac, menurunkan harga minyak dan memperkenal pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion pada 27 Februari.

“Ada prospek sekurang-kurangnya satu lagi pengurangan 25bps-50bps dalam OPR,” menurut Maybank IB Research.

Bank pelaburan itu tidak menolak kemungkinan pengurangan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun sebanyak 3.00 peratus pada masa ini berikutan pasaran kewangan global yang merudum minggu lalu menyebabkan keadaan kewangan merosot.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM yang akan datang dijadualkan pada 4 dan 5 Mei depan bagaimanapun terdapat potensi mesyuarat tergempar akan diadakan.

“Pengurangan SRR boleh diumumkan di luar mesyuarat seperti yang diumumkan pada November 2019,” katanya.

Memandangkan kerajaan baharu meneliti semula pakej rangsangan ekonomi, Maybank IB Research yakin beberapa langkah dapat dipertingkat dan diperluaskan.

Katanya, beberapa langkah pelonggaran fiskal disasarkan dan mengikut masa yang bermula Mac hingga September boleh dilanjutkan hingga akhir tahun.

Dari segi peranan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat minyak nasional, Petronas yang mempunyai tunai bersih RM73 bilion akan mengekalkan pelan perbelanjaan modal domestiknya untuk mengurangkan sebarang impak ke atas industri minyak dan gas tempatan.

Maybank IB Research juga tidak menolak prospek dividen tambahan atau khas Petronas untuk meningkatkan kewangan kerajaan bagi mengelak peningkatan defisit belanjawan negara secara berlebihan dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk membiayai rangsangan fiskal tambahan.

Sementara itu, Pengarah Wazan Capital, Izrul Zainal Abidin berkata, belanjawan yang disemak semula atau tambahan perlu dibuat untuk menampung kekurangan dalam Belanjawan 2020 berikutan ia dirangka semasa jangkaan harga minyak pada AS$62 setong berbanding AS$30 setong sekarang.

Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan perlu memperkenalkan struktur cukai lebih berkesan untuk meningkatkan pendapatan berikutan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada dua tahun lalu.

Beliau berkata, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ternyata gagal menggantikan GST dari segi kutipan.

Menjelang sidang Parlimen pada 18 Mei depan, Izrul turut menekankan kepentingan ahli politik untuk memberi tumpuan kepada perbahasan mereka mengenai isu ekonomi dan mencari jalan bagi meningkatkan aktiviti ekonomi dan mengurangkan pengangguran.

“Memandangkan persekitaran ekonomi global menjadi lebih tidak menentu dan berikutan Malaysia semakin terdedah kepada pergerakan harga komoditi global, risiko kejutan sedemikian dijangka meningkat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 6:15am
    d