bisnes

Bantuan PKS RM1j

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

AMBANK menawarkan Bantuan Fasiliti Khas bernilai RM1 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan penularan Covid-19.

Selain itu, AmBank memperkenalkan proses mudah bagi mereka yang ingin memohon kemudahan ini dengan kelulusan disediakan dalam tempoh 24 jam dan pembayaran dalam tempoh lima hari dari tarikh kelulusan pembiayaan.

AmBank menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya akan terus menawarkan penangguhan pembayaran sementara untuk pelanggan yang terjejas, bagi individu dan perniagaan.

“Sejajar langkah ini, AmBank akan berhubung secara proaktif dengan pelanggan melalui pengurus perhubungan kami untuk melanjutkan bil dagangan mereka kepada satu kitaran bagi mengurangkan kesan kepada aliran tunai.

“Di samping itu, kami turut menjangkau pelanggan PKS dari semua sektor ekonomi yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengenal pasti alternatif lain yang dapat kami laksanakan dalam tempoh sukar ini,” katanya.

AmBank turut menyedari akan keperluan penting ini dan ingin membantu lebih ramai rakyat Malaysia, terutama mereka yang berdepan dengan masalah kewangan.

“Kami akan mengkaji semula keperluan bagi program tambahan menangani keperluan kredit dan pembiayaan pelanggan individu.

“PKS yang terjejas boleh berhubung melalui e-mel di businessbanking@ambankgroup.com atau talian +603 2178 3188, manakala pelanggan individu (customercare@ambankgroup.com) atau +603 2178 8888,” katanya.

Sementara itu, AmMetLife dan AmMetLife Takaful turut memperkenalkan bantuan kewangan bagi membantu pemilik polisi.

Kedua-dua syarikat insurans terbabit akan melindungi kemasukan hospital berikutan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 7:10am
    d