bisnes

Lindungi potensi produktif

PAKEJ rangsangan ekonomi pusingan kedua bagi menangani impak Covid-19 memerlukan peralihan strategi daripada merangsang ekonomi kepada melindungi potensi produktif berikutan kedua-dua krisis kesihatan serta ekonomi meruncing.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), teras strategi perlindungan itu perlu memberi fokus kepada program mengekalkan aspek pekerjaan secara besar-besaran bagi memastikan isi rumah memiliki sumber mencukupi mengharungi pandemik dalam masa beberapa bulan lagi apabila syarikat mula melaksanakan pendekatan penjimatan kos masing-masing.

Timbalan Pengarah Penyelidikan KRI, Christopher Choong Weng Wai berkata, pada masa ini, kerajaan dalam proses merangka pakej rangsangan ekonomi kedua dijadual diumumkan pada 30 Mac nanti dan menjadi sokongan Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion diumumkan Februari lalu.

“Dalam pakej pertama, kerajaan memperkenalkan satu versi strategi pengekalan pekerjaan dikenali Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) iaitu lanjutan daripada Skim Insurans Pekerjaan (EIS).

ERP menyediakan bayaran RM600 kepada pekerja yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji.

“Ini inisiatif baik memandangkan ada kemungkinan syarikat melaksanakan langkah pengurangan pekerja untuk mengurangkan impak akibat Covid-19.

“Namun, ERP itu saja masih tidak mencukupi atas beberapa sebab. Ini disebabkan ia hanya menumpukan aspek cuti tanpa gaji sedangkan masih ada langkah pengurangan lain yang boleh dilaksana syarikat seperti pengurangan gaji/upah atau jam kerja dan tidak mendorong pembuangan pekerja atau melaksanakan langkah cuti tanpa gaji,” katanya menerusi laporan penyelidikan bertajuk Mitigating the Economic Shocks of COVID-19: Protect Our Workers (Mengurangkan Kejutan Ekonomi Akibat Covid-19: Melindungi Pekerja Kita).

Sehubungan itu, katanya, usaha merangka program terbabit sewajarnya mempertimbangkan aspek pengurangan gaji oleh syarikat khususnya dalam konteks hubungan majikan-pekerja yang kukuh dalam firma lebih kecil yang mempunyai kelebihan dari segi dorongan tanggungjawab bersama kerajaan.

“Kedua, ERP itu tidak membabitkan kelompok mereka yang bekerja sendiri dan bukan pekerja biasa yang tidak membuat caruman kepada EIS.

“Ketiga, kadar bayaran RM600 itu di bawah paras gaji minimum dan mewakili 26 peratus daripada gaji purata.

“Oleh itu, jika dilihat dari segi menggantikan pendapatan, jumlah berkenaan mungkin tidak mencukupi bagi membantu pekerja terjejas, terutama yang bergaji rendah serta dibebani pelbagai komitmen kewangan dan obligasi hutang.

“Sehubungan itu, dua perkara segera boleh dilakukan kerajaan iaitu memperluas perlindungan ERP kepada pekerja terbabit dalam pengurangan gaji dan menyamai dengan manfaat dinikmati pekerja bercuti tanpa gaji. Kedua, jadikan gaji minimum RM1,200 asas pengiraan bagi pembayaran jumlah bayaran terbabit,” katanya.

Menurutnya, usaha memperluas perlindungan dan meningkatkan bayaran itu akan memerlukan suntikan dana kerajaan ke dalam EIS.

Dalam pakej pertama, peruntukan bagi membantu pekerja yang bercuti tanpa gaji adalah RM120 juta.

Jumlah itu perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya tiga kali ganda dalam jangka pendek dan seterusnya ditingkatkan dalam jangka sederhana sehingga jangka panjang.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 7:30am
d