bisnes

Shopee permudah akses beli topeng muka

SHOPEE menjalin kerjasama rapat dengan pengeluar dan pengedar tempatan serta antarabangsa bagi menawarkan akses dalam talian buat pengguna di negara ini untuk mendapatkan keperluan penutup muka dan hidung dengan lebih mudah.

Pengarah Urusan Serantaunya, Ian Ho berkata, ketika ini syarikat di China sudah kembali meneruskan perniagaan yang menyaksikan pengeluaran bagi barangan itu semakin meningkat.

Katanya, ia menyumbang kepada pertambahan bekalan di seluruh dunia malah di Malaysia khasnya, larangan eksport dan pengecualian cukai pada penutup muka dan hidung itu secara amnya membawa kepada peningkatan bekalan.

“Kini, platform Shopee menyediakan penutup muka dan hidung keluaran tempatan dan rentas sempadan yang mampu menawarkan kuantiti lebih banyak pada harga lebih baik untuk pengguna akhir.

“Dengan peningkatan bekalan dalam platform ini, kami dapati harganya juga mula menurun. Ada penjual menawarkan harga antara RM60 hingga RM85 untuk sekotak berisi 50 penutup muka dan mulut pembedahan tiga lapis, di bawah harga siling runcit ditetapkan kerajaan iaitu RM100.

“Walaupun Shopee platform terbuka untuk pedagang melakukan jualan dan kami tidak menentukan harga barangan bagi pihak penjual, kami memberi amaran kepada mereka supaya prihatin bagi memastikan penutup muka dan hidung ini mampu dimiliki rakyat Malaysia,” katanya.

Komited menyokong usaha Malaysia dalam menangani penularan Covid-19, Ian berkata, pihaknya menggalakkan pengguna tidak membeli melebihi keperluan sebenar.

“Ini bagi membolehkan akses buat setiap rakyat Malaysia terhadap produk penting dan kami menyeru semua menyertai usaha kami,” katanya.

Beliau turut berkongsi tips umum untuk pembelian penutup muka dan hidung atau apa saja barangan di Shopee antaranya dengan membaca penerangan produk dan ulasan pembeli terdahulu dengan teliti sebelum membuat keputusan.

Beliau juga menyarankan laporan dibuat kepada Shopee dengan menggunakan fungsi ‘Report This Product’ dalam aplikasi jika didapati barangan terbabit dijual pada harga terlalu mahal.

“Penggunaan ‘Shopee Live Chat’ dalam aplikasi adalah digalakkan untuk mengesahkan harga serta kuantiti selain bagi mendapatkan lebih maklumat daripada penjual.

“Pastikan juga semua urus niaga dilakukan dalam platform kami kerana pembeli dilindungi oleh Polisi Jaminan Shopee dimana Shopee memegang pembayaran untuk memastikan pelanggan menerima pesanan yang betul, tepat pada masa dan dalam keadaan baik sebelum bayaran diberi kepada penjual,” katanya.

Kini, Shopee juga mengadakan kempen khas Beli-Belah Dengan Selamat Dari Rumah bermula sekarang sehingga 4 April depan, khusus buat pengguna yang melakukan pembelian bagi keperluan asas termasuk makanan mereka di satu tempat dengan harga berpatutan.

Antara promosi menarik termasuk tawaran serendah 44 sen dan diskaun hingga 80 peratus pada 27 Mac dan 4 April ini.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 6:05am
d