bisnes

Mudah tunai mencukupi

SISTEM perbankan Malaysia mempunyai mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dan berada dalam kedudukan kukuh dengan lebihan penampan modal.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah melebihi keperluan pengawal seliaan minimum sebanyak RM119.7 bilion setakat akhir Januari 2020.

Maka, sistem perbankan negara berkedudukan kukuh dalam menyokong aktiviti pembiayaan meskipun berdepan persekitaran mencabar susulan impak penularan wabak Covid-19.

BNM berkata, aktiviti pengantaraan kewangan dalam tempoh kini disokong mudah tunai lebih daripada mencukupi dalam sistem perbankan.

Malah, ia terus membekalkan mudah tunai harian ringgit kepada bank melalui pelbagai alat di bawah operasi pasaran terbukanya termasuk pembelian terus sekuriti kerajaan, swap pertukaran asing (FX swaps), repo berbalik (reverse repo) dan kemudahan pinjaman (standing facility).

Bank pusat itu mengambil langkah awal menambah mudah tunai melalui pengurangan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas baru-baru ini.

“Bersama-sama dengan fleksibiliti SRR tambahan yang diberikan kepada peniaga utama, langkah ini menambah RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan.

“Selain itu, jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem berjumlah RM160 bilion dengan RM100 bilion ditempatkan di BNM di bawah operasi pasaran terbuka boleh digunakan untuk memenuhi keperluan mudah tunai sistem perbankan.

“Kami akan memantau rapi perkembangan ini dan memastikan mudah tunai dalam sistem kewangan mencukupi sepanjang masa,” katanya.

BNM juga mengkaji semula pelan aktiviti pengawalan dan penyeliaannya bagi 2020 untuk memudahkan pematuhan serta meringankan beban operasi institusi perbankan.

Ia berkata, sebagai sebahagian daripada kajian semula itu, inisiatif dasar dan penyeliaan ditumpukan semula kepada pemantauan dan tindak balas terhadap perkembangan risiko serta memastikan institusi perbankan akan terus menjadi salah satu tunjang kepada ekonomi negara.

“Bagi tujuan ini, institusi perbankan boleh menggunakan penampan modal mereka 2.5 peratus serta beroperasi di bawah paras purata nisbah perlindungan minimum mudah tunai pada 100 peratus dan menggunakan rizab pengawal seliaan dikumpulkan semasa tempoh pertumbuhan pinjaman kukuh.

“BNM menjangka institusi perbankan mengembalikan semula penampan mereka kepada paras baik dalam tempoh wajar selepas 31 Disember 2020,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 6:10am
d