bisnes

Persiap Diri Pasca Covid-19

Oleh Bisnes Metro

USAHAWAN perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro perlu merebut peluang keemasan yang ditawarkan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) untuk membantu PKS atau dikenali sebagai Prihatin Tambahan bernilai RM10 bilion.

Ini kerana bantuan yang diberikan kerajaan itu membantu meringankan beban usahawan PKS dan mikro sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ada dalam kalangan komuniti ini tidak dapat meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.

Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, usahawan juga perlu mengambil peluang ini untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi senario perniagaan yang berbeza khususnya selepas tamat tempoh PKP ini kelak.

“Kita masih berada di peringkat survival dan bantuan yang kerajaan tawarkan ini untuk memastikan kelangsungan hidup usahawan yang menghadapi penurunan ketika tempoh PKP.

“Ini belum lagi situasi pasca-Covid-19. Usahawan perlu berhati-hati membuat perancangan perniagaan kerana selepas ini situasi pasti jauh berbeza.

“Penawaran dan permintaan berubah dan ada kemungkinan sebahagian perniagaan yang dijalankan hari ini tidak lagi relevan selepas pandemik ini tamat kelak,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Menurutnya, sikap pengguna juga berubah di mana lebih ramai yang mementingkan isu kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

Dalam pada itu, menurutnya usahawan yang mahu memohon peruntukan dan bantuan yang diberikan kerajaan melalui Prihatin Tambahan ini perlu berkongsi kisah perjalanan mereka dengan usahawan lain.

“Kita mahu sistem penyampaian berjalan lancar dan sekiranya ada perkara yang mungkin menyusahkan, maka kita perlu memaklumkan kepada pihak berkenaan supaya keadaan diperbetulkan.

“Jangan duduk diam saja kerana ia tidak menyelesaikan masalah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 6:00am
    d