bisnes

Semak semula sasaran jualan

SP Setia menyemak semula sasaran jualan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 kepada RM3.80 bilion daripada RM4.55 bilion yang disasarkan sebelum ini berikutan syarikat menjangkakan aktiviti ekonomi mengambil masa untuk pulih.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Khor Chap Jen berkata, amalan penjarakan sosial selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersyarat dilanjutkan memberi impak kepada kemajuan pembinaan.

"Kebimbangan mengenai keselamatan pekerjaan terus meningkat dan pengguna lebih berhati-hati untuk berbelanja khususnya bagi pembelian barangan mahal seperti hartanah," katanya.

Menurutnya, selain jualan RM470 juta yang diperoleh pada suku pertama 2020, syarikat itu juga menerima tempahan bernilai RM723 juta dalam tempoh sama.

"Ketika tempoh PKP bersyarat dilanjutkan, fokus tertumpu untuk menukar tempahan ini kepada jualan segera," katanya.

Khor berkata, unjuran bagi tahun kewangan 2020 kekal mencabar dan berdepan ketidakpastian berikutan impak menyeluruh Covid-19 belum dapat ditentukan.

Bagaimanapun, katanya, SP Setia kekal berdaya tahan berikutan jualan belum dijelaskan berjumlah RM9.80 bilion yang menjadikan syarikat itu berada dalam kedudukan baik dalam tempoh mencabar ini.

Mengenai masa depan, menurutnya, selain memfokuskan kepada pembersihan inventori siap, ia terus berhati-hati dengan membuat pelancaran baharu yang terhad, menumpukan perhatian kepada unit bertanah jenis pertengahan di perbandaran sedia ada bagi memenuhi permintaan penghuni pemilik.

"Syarikat juga dipacu 48 projek yang dijalankan dan baki simpanan tanah 3,528.05 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM138.87 bilion setakat 31 Mac 2020," katanya.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2020, SP Setia mencatatkan keuntungan bersih RM56.12 juta, merosot 43.78 peratus tahun ke tahun berbanding RM99.83 juta sebelum ini, dipengaruhi penguatkuasaan PKP bagi membendung penularan Covid-19.

Di bawah suku yang dinilai, perolehan turut jatuh 18.76 peratus tahun ke tahun kepada RM702.66 juta daripada RM864.91 juta sebelum ini.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 7:10am
d