bisnes

Kopi segera terbaharu

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

NESTLE Malaysia melancarkan kopi segera Starbucks Premium Instant dengan rangkaian baharu terdiri daripada kopi Medium Roast dan Dark Roast serta pelbagai jenis kopi.

Minuman baharu itu ditawarkan dalam format tin dan menggabungkan kepakaran warisan Nestle dalam segmen kopi segera dengan keunikan sentuhan rasa premium Starbucks.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Minuman Nestle Malaysia, Othman Chraibi berkata, kerjasama kukuh dengan Starbucks membolehkan ia bergerak pantas dan mengembangkan jenama Starbucks menerusi segmen kopi segera atau larut yang terkenal di Malaysia.

"Kami gembira terus memanfaatkan kepakaran kopi kami untuk mencipta pengalaman premium kopi baharu agar pengguna dapat menikmati kemudahan di kediaman mereka dengan selesa," katanya dalam satu kenyataan.

Nestle Malaysia berkata, bermula April lalu, pelanggan boleh menikmati kopi berkualiti tinggi Starbucks dalam bungkusan segera atau larut di rumah.

Katanya, produk baharu itu menjadikan terdapat secara keseluruhan 11 jenis produk termasuk pakej biji kopi, kopi panggang serta kapsul Starbucks yang dibangunkan menggunakan jenama dan sistem teknologi Nescafe Dolce Gusto.

"Produk baharu ini hadir selepas Nestle Malaysia memperkenalkan kopi Starbucks at Home September tahun lalu.

"Produk berkenaan menjadi inovasi pertama yang dikembangkan Nestle dan Starbucks selepas kedua-dua syarikat terbabit secara rasmi menjalinkan pakatan global yang membolehkan Nestle memperluas portfolio kopinya, selain Nescafe dan Nespresso, dengan menambah satu lagi jenama ikonik, Starbucks.

"Medium Roast adalah kopi Amerika Latin yang halus dengan susu coklat dan kacang, sementara Dark Roast adalah kopi sejati yang dipanggang sempurna dan manis berserta coklat gelap lazat," katanya.

Minuman kopi baru itu juga diilhamkan secara langsung oleh minuman utama Starbucks, yang ditawarkan dengan pilihan Cappuccino, Caffe Latte, Caffe Mocha dan Caramel Latte.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 7:20am
d