bisnes

Sambutan hebat!

LBS Bina Group Berhad (LBS) melanjutkan kempen pemasaran #DudukRumah Deals sehingga 31 Disember 2020 berikutan sambutan yang menggalakkan.

Dilancarkan pada April lalu, kempen ini memberi peluang kepada pembeli untuk menempah unit kediaman LBS dengan hanya RM200.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, sehingga 1 Jun lalu LBS berjaya menerima tempahan berjumlah RM273.7 juta.

"Kempen ini dilanjutkan agar dapat membantu lebih ramai bakal pembeli untuk memiliki rumah impian mereka dalam fasa mencabar ini," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sumbangan jualan utama diraih daripada dua perbandaran utama, KITA @ Cybersouth dan LBS Alam Perdana.

Di samping itu, pembangunan hartanah lain seperti perbandaran Bandar Putera Indah, Johor dan Taman Kinding Flora di Chemor, Perak turut menyumbang kepada kemantapan prestasi LBS.

Selain daripada bayaran tempahan RM200, kempen #DudukRumah Deals turut menawarkan pemberian insentif tunai untuk hartanah terpilih di samping yuran guaman dan yuran pengeluaran SPA percuma serta duti setem percuma bagi perjanjian pinjaman.

Bakal pembeli boleh memilih untuk membeli mana-mana hartanah LBS di Lembah Klang, Perak, Pahang dan Johor.

"Strategi kami adalah untuk memfokuskan pembinaan unit mampu milik di perbandaran lestari seperti KITA @ Cybersouth dan LBS Alam Perdana dengan reka bentuk yang menarik, fasiliti dan kemudahan akses jalan raya utama terus menerima sambutan baik dan membantu kami menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.

"Kami percaya dengan keadaan pasaran ketika ini, LBS akan terus konsisten membina kediaman berdasarkan tiga teras utama iaitu mampu dimiliki, kesalinghubungan dan komuniti," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 7:10am
d