bisnes

Perodua turun harga kenderaan 6 peratus

Oleh Lizam Ridzuan

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) muncul syarikat automotif pertama menurunkan harga semua model keluarannya antara tiga hingga enam peratus berkuat kuasa, semalam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pengurangan harga itu bermula semalam hingga 14 Jun membabitkan pemberian rebat tunai dan harga berkenaan dikekalkan sepanjang tempoh pengurangan cukai.

Katanya, senarai harga baharu semua modelnya selaras pengumuman kerajaan mengenai pengecualian cukai jualan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) bermula 15 Jun hingga 31 Disember dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15 Jun 2020, kami memberikan rebat tunai antara tiga hingga enam peratus bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini (semalam).

"Kami mahu orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa ketinggalan. Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan berunding dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui jumlah rebat tunai ditawarkan serta senarai harga penuh yang berkuatkuasa 15 Jun," katanya dalam kenyataan, semalam.

Barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.

Zainal Abidin berkata, pihaknya menyokong penuh langkah kerajaan memberikan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi pembelian kenderaan CKD sehingga akhir tahun ini dalam usaha memulih dan menaikkan ekonomi domestik.

"Rakyat Malaysia kini lebih berhati-hati dalam berbelanja berikutan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kenderaan persendirian masih diperlukan pada masa sukar ini.

"Pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan CKD meyakinkan industri automotif, bukan sahaja pelanggan, tetapi keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar.

"Seiring kadar pinjaman rendah, kami optimis langkah ini mendorong penjualan kenderaan baharu," katanya.

Perodua menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41 peratus pasaran berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dianggarkan 129,401 unit setakat tahun ini.

Dengan kandungan tempatan melebihi 90 peratus bagi seluruh barisan modelnya, Perodua membelanjakan RM5.4 bilion tahun lalu untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.

"Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, kami ingin menyatakan semula komitmen kami kepada kerajaan membantu industri menempuhi fasa sukar ini," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 7:00am
d