bisnes

Jalin kerjasama bina komponen automotif

INSTITUT Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan MultiCode Electronics Industries (M) Bhd (MCE) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi membangunkan komponen kritikal bagi mempercepatkan pelaksanaan pemanduan autonomi dan mobiliti terhubung selaras dengan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, menerusi perjanjian itu, kedua-dua entiti bekerjasama membangunkan bahagian dan komponen penting dan strategik kepada ekosistem teknologi tempatan di bawah elemen Kenderaan Generasi Baharu (NxGV), mobiliti terhubung dan pemanduan autonomi yang dilaksanakan dalam industri silang.

"Pembangunan pasaran global memerlukan kita bekerjasama ke arah elemen baharu seperti NxGV, MaaS (Mobiliti sebagai perkhidmatan) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) untuk kekal relevan.

"Pembangunan ini membabitkan bahagian dan komponen yang menjadi asas utama dalam membolehkan industri membangunkan komunikasi kenderaan-ke-kenderaan, sensor pintar dan teknologi autonomi bagi merealisasikan mobiliti terhubung," katanya dalam kenyataan semalam.

MoU itu dimeterai Madani bagi mewakili MARii, manakala MCE diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Dr Goh Kar Chun.

Madani berkata, MoU itu mewujudkan peluang bagi memperkemaskan bakat tempatan dalam bidang bernilai tinggi selain memacu pertumbuhan penggunaan teknologi dalam kalangan peserta automotif.

"Inisiatif itu dilaksanakan dengan komponen teknologi termasuk sensor seperti Pengesanan Cahaya dan Jarak (Lidar), Pengesanan Radio dan Jarak (Radar), kamera, perakam dan komponen mekatronik dan elektronik lain," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 7:10am
d