bisnes

BNM lantik Marzunisham dan Dr Norhana

Oleh Bisnes HM

BANK Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan bahawa Menteri Kewangan telah meluluskan pelantikan Marzunisham Omar sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Jun 2020 serta pelantikan Dr Norhana Endut sebagai Penolong Gabenor di BNM.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, sebagai Timbalan Gabenor, Marzunisham akan memantau keseluruhan bidang pengurusan korporat BNM, termasuk mata wang dan kewangan, digital dan teknologi, modal insan dan perkhidmatan korporat.

Beliau juga akan menjadi Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab atas Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan.

"Marzunisham akan menjadi ahli Lembaga Pengarah dan akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa BNM, antaranya ialah Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

"Beliau juga akan menjadi pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC)," katanya.

Marzunisham memulakan kerjaya di BNM pada 1993 dan memegang Ijazah Sarjana serta Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari University of Cambridge, United Kingdom.

Beliau mempunyai pengalaman selama 27 tahun dalam pelbagai bidang Perbankan Pusat yang merangkumi ekonomi dan dasar monetari, pengawalan dan pembangunan sektor kewangan, rangkuman kewangan dan pembangunan organisasi.

Antara tahun 2015 hingga 2017, Marzunisham berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Southeast Asia Voting Group Constituency di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam pada itu, BNM juga mengumumkan pelantikan Dr Norhana Endut sebagai Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Norhana akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Ekonomi, Dasar Monetari, Pengurusan Data & Statistik serta Jabatan Antarabangsa.

Sebelum pelantikan ini, Norhana telah berkhidmat di Jabatan Ekonomi dan Jabatan Dasar Monetari.

Beliau adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Washington University, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari University of Warwick, United Kingdom.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 6:35pm
d