bisnes

Berjaya Tioman Resort ditutup selepas 50 tahun operasi

Oleh Bisnes HM

BERJAYA Tioman Resort yang sudah beroperasi selama 50 tahun akan ditutup sepenuhnya bermula 15 Jun ini selepas terkesan dengan penularan Covid-19 dan akan menjalani aktiviti pembangunan semula.

Pengurusan kanannya dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua kakitangan di resort itu akan diberhentikan dan akan diberi pampasan sewajarnya membabitkan kos RM8 juta.

"Dengan berat hati diumumkan bahawa Berjaya Tioman Resort akan menghentikan operasinya berkuat kuasa 15 Jun ini, disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang memberi kesan buruk kepada industri pelancongan.

"Sepanjang penutupan ini, pihak pengurusan akan menjalankan pembangunan semula yang amat diperlukan untuk menghidupkan semula resort ini, yang berusia lebih 50 tahun," katanya.

Ia berkata, selepas selesai kerja pembangunan semula dibuat, pihak pengurusan akan mempertimbangkan untuk menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada semua pekerja terjejas.

"Kami mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan mereka untuk terus bersama dengan kami ketika di waktu susah dan senang," katanya.

Berjaya Tioman Resort adalah sebahagian daripada portfolio yang dimiliki oleh Berjaya Land Bhd.

Di Malaysia, Berjaya Land turut mempunyai resort lain di Langkawi, Pulau Redang, Bukit Tinggi, serta hotel di beberapa kawasan di Asia dan Eropah.

Kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 13 hotel dan resort di dalam dan di luar negara.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 6:38pm
d