bisnes

Rundingan percuma

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

 

CPROFILES, penyedia perkhidmatan profil syarikat milik Bumiputera memperkenal kempen CPCare bagi membantu usahawan dengan strategi pemasaran dan promosi mengharungi trend perniagaan normal baharu secara percuma.

   Pengarah CPROFILES, Khalil Zulkeifflee berkata, tujuan utama CPCare dilancarkan 1 Jun lalu untuk membantu usahawan menghadapi cabaran dalam perniagaan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

   Katanya, sejak CPCare dilancarkan, pihaknya berjaya membantu memberi khidmat nasihat perniagaan kepada 20 syarikat pelbagai industri, dari dalam dan luar negara.

   "Inisiatif ini diambil berikutan kami lihat masih ramai usahawan buntu, tidak tahu arah tuju, serta tidak mahir menggunakan teknologi digital bagi mengurus dan menjalankan perniagaan mereka.

   "Malah, ramai usahawan berputus asa untuk terus berniaga dan tidak kurang juga terpaksa menamatkan perniagaan mereka.

  "Sejak kami memperkenalkan CPCare, jelas kelihatan usahawan berasa lega kerana ada pakar bertauliah membantu mereka apatah lagi rundingan ini diberi secara percuma," katanya.

   Menurutnya, buat masa ini, CPROFILES mempunyai lima jururunding yang sedia memberi khidmat nasihat perniagaan di mana setiap seorang boleh menguruskan 10 kes setiap bulan.

   "Ini memberi sasaran kepada kami untuk menguruskan sekurang-kurangnya 600 kes setahun.

   "Kami lebih bersemangat untuk membantu usahawan muda yang baru berjinak dalam dunia perniagaan untuk melancarkan operasi perniagaan mereka dengan mengelakkan kesilapan yang dibuat oleh usahawan sebelum mereka.

   "Semua ini boleh dijayakan dengan sesi khidmat nasihat dan latihan yang berterusan dan CPCare terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berniaga atau yang mahu memulakan perniagaan," katanya. 

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 7:47am
d