bisnes

Bincang bayaran semula dengan bank

Oleh Bisnes HM

INDIVIDU yang membuat penangguhan bayaran semula pinjaman atau pembiayaan bank dan memerlukan penyusunan dan penjadualan semula dinasihat berbincang dengan institusi kewangan masing-masing bermula dari sekarang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuat kuasa sejak 1 April lalu, kini mencatatkan nilai mencecah RM43.7 bilion.

"Sehingga 19 Jun lalu, dari angka ini, RM15.3 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan sektor perniagaan manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM28.4 bilion," katanya dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di Facebook, semalam.

Menurutnya, pihaknya mengingatkan pengguna tempoh moratorium berakhir pada 30 September dan mereka yang mungkin memerlukan kemudahan penyusunan dan penjadualan semula selepas 30 September perlu berbincang dengan institusi kewangan masing-masing.

"Demi kelangsungan aliran tunai anda, kalau boleh jangan tunggu sehingga saat akhir untuk berbincang dengan institusi kewangan anda," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi.

"(Tetapi), saya pernah menyebut beberapa kali bahawa 97 peratus hingga 98 peratus hutang kita adalah hutang dalam negeri (negara).

"Ini penting kerana ia bermakna dedahan kita terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 7:50am
d