bisnes

PLUS terima pengiktirafan antirasuah antarabangsa

Oleh BERNAMA

PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa pensijilan ISO 37001:2016 bagi Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, PLUS berkata pengiktirafan itu diterima selepas lima bulan komitmen ikrar Antirasuah dan Korupsi (ABAC) di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa berlangsungnya Hari Integriti PLUS, Februari lalu.

"Saya berasa amat berbangga kerana semasa berlakunya wabak Covid-19 ini, PLUS berupaya untuk mempercepat mengadaptasi cara kerja baharu dengan memanfaatkan penggunaan teknologi untuk menghubungkan kakitangan, rakan niaga dan masyarakat terhadap kepentingan menegakkan integriti.

"Pengiktirafan tersebut mengukuhkan lagi tahap kedudukan sikap sifar toleransi PLUS terhadap semua bentuk rasuah dan korupsi. Slogan #pilihintegrititiadatoleransi yang kami terapkan menegaskan kepercayaan kami bahawa tiada kompromi terhadap perihal integriti," kata Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Pensijilan itu diperoleh setelah pemeriksaan audit secara teliti dan mendalam yang dilakukan oleh pihak SIRIM QAS International, sebuah badan pensijilan bebas yang membuat kesimpulan bahawa PLUS menunjukkan proses dan praktik yang berkesan untuk mengelak, mengesan dan bertindak balas terhadap gejala rasuah selaras dengan undang-undang antirasuah.

Sebelum penerimaan pengiktirafan tersebut, PLUS melancarkan saluran pemberian maklumat di laman web rasminya, yang membolehkan orang ramai melaporkan kes yang disyaki berkenaan dengan perlakuan tidak wajar PLUS tanpa perlu rasa takut dan risau terhadap sebarang tindakan balas.

"Semua laporan yang diterima adalah sulit dan tindakan akan diambil kepada mereka yang tidak mematuhi Prinsip ABAC PLUS," kata Ketua Pegawai Governans dan Risiko PLUS Satpal Singh dalam kenyataan sama.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 9:53am
d