bisnes

Potong gaji, bonus

SEBAHAGIAN besar pekerja di negara ini berdepan pemotongan dan penurunan bonus selain gaji dikurangkan susulan krisis Covid-19.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan platform carian pekerja, JobStreet mendapati satu daripada tiga pekerja yang dikaji melaporkan pengurangan gaji lebih daripada 30 peratus.

"Berikutan itu, kebanyakan pekerja kini bimbang mengenai kedudukan kewangan dan jaminan pekerjaan masing-masing.

"Kebimbangan itu menyebabkan penurunan tahap kegembiraan bekerja, khususnya bagi mereka yang terbabit dalam sektor berorientasikan perkhidmatan dan mempunyai anak kecil.

"Pekerja yang berkhidmat untuk syarikat bersaiz sederhana juga melaporkan tahap kegembiraan bekerja lebih rendah," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, dari aspek positif, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk menyerap impak negatif Covid-19.

Antara yang membantu golongan pekerja adalah pengenalan pas perjalanan tanpa had pengangkutan awam MY30, peruntukan data internet percuma sehingga 1GB, geran perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai pekerja ekonomi gig serta beberapa geran kewangan lain.

Pengurus Negara JobStreet, Gan Bock Herm berkata, secara keseluruhan, kaji selidik itu mendapati hampir semua pekerja di Malaysia tidak terlepas daripada kesan krisis Covid-19.

"Sembilan daripada 10 pekerja di negara ini merasai kesan negatif krisis itu terhadap pekerjaan masing-masing. "Malah, 66 peratus pekerja turut berdepan penambahan skop kerja, terutama pekerja berpendapatan lebih tinggi di organisasi lebih besar.

"Masalah itu khususnya dihadapi dalam sektor pendidikan (54 peratus) dan pengeluaran (45 peratus), yang masing-masing memerlukan proses pembelajaran jarak jauh dan permintaan barangan lebih tinggi," katanya.

Katanya ada sektor menyaksikan berlaku pengurangan beban tugas pekerja iaitu hospitaliti/katering (45 peratus) dan seni bina/pembinaan (36 peratus).

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 6:50am
d