bisnes

Kerajaan dengar idea rakyat

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KERAJAAN akan terus mendengar idea dan pandangan rakyat mengenai bantuan yang diperlukan bagi membolehkan semua pihak mendapat manfaat sewajarnya.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan yang sudahpun dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Katanya, sebelum Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan juga sudah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion.

"Mengenai laporan Bank Dunia yang menyatakan bahawa jumlah pakej Penjana dan Prihatin tidak cukup dan perlu ditambah lagi, pada pendapat saya cukup atau tidak kita akan melaksanakan penambahan secara berperingkat melihat kepada keperluan juga.

"Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi global akan menguncup 4.9 peratus dan Malaysia tidak terkecuali di mana Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengunjurkan ekonomi - 0.5 ke -2.0 peratus, tetapi kita perlu tengok pada perkembangan ekonomi yang dibuka sekarang.

"Paling penting kita sudah berjaya memulakan pembukaan ekonomi secara berperingkat dan setakat ini kita lihat perkembangan positif untuk suku ketiga dan keempat serta bagaimana kita menangani Covid-19.

"Suntikan fiskal kita juga positif yang mana akaun semasa dari segi perbelanjaan positif dan kita tak menggunakan pinjaman untuk menyalurkan Prihatin dan Penjana," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Prasarana Malaysia Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan melaksanakan suntikan fiskal langsung berjumlah RM45 bilion bagi membiayai pakej Prihatin dan Penjana yang secara keseluruhannya bernilai RM295 bilion.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 2:23pm
d