bisnes

Ahmad Zulqarnain dilantik PGCE PNB

Oleh Wartawan HM

LEMBAGA Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) PNB, berkuat kuasa 1 Julai ini.

PNB dalam satu kenyataan berkata, sebelum ini, Ahmad Zulqarnain adalah Timbalan Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

"Beliau dilantik sebagai salah seorang daripada dua Timbalan Pengarah Urusan pada 2018 dan bertanggungjawab ke atas pelaburan strategik serta pengurusan pegangan strategik Khazanah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Selain itu, beliau juga mengetuai pasukan Strategi Korporat di Khazanah. Beliau mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan serta korporat," katanya hari ini.

Menurutnya, berdasarkan semua keperluan yang ditetapkan, PNB menerima semua kelulusan yang diperlukan bagi pelantikan PGCE yang baharu, termasuk di peringkat Yayasan Pelaburan Bumiputra, Lembaga Pengarah PNB dan pihak badan kawal selia.

"Sehubungan itu, Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan beliau sebagai sebahagian daripada pasukan yang akan memacu PNB menjadi sebuah institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 6:08pm
d