bisnes

Media Prima, kesatuan pekerja capai persetujuan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

MEDIA Prima Berhad (Media Prima) dan wakil daripada lima kesatuan sekerja mencapai persetujuan dalam perbincangan berhubung pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan kumpulan seperti yang diumumkan pada 4 Jun 2020.

Media Prima menerusi kenyataan berkata, perbincangan terbabit bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi kepada kakitangan yang terjejas diberi keutamaan.

"Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisma pampasan yang adil serta saksama kepada kakitangan yang terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan.

"Surat notis kepada kira-kira 300 orang kakitangan yang terjejas dikeluarkan hari ini dan tarikh akhir pekerjaan mereka adalah pada 31 Julai 2020," katanya.

Sebelum ini, Media Prima telah mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya.

Perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, faktor itu telah memaksa kumpulan untuk mempercepat pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasinya.

"Ia merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian. Inisiatif ini membabitkan perubahan operasi di unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul daripada pertindihan kerja.

"Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 8:39pm
d