bisnes

Eksport pada Mei jatuh 25.5 peratus

MALAYSIA kembali merekodkan lebihan dagangan RM10.41 bilion pada Mei.

Ia sekali gus menyaksikan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.7 peratus.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam satu kenyataan berkata, Malaysia merekodkan lebihan dagangan melebihi RM10 bilion bagi kali keempat tahun ini, pada bulan lalu.

Katanya, prestasi itu meningkat semula daripada defisit dagangan RM3.63 bilion yang dicatatkan pada April, biarpun eksport lebih lemah daripada jangkaan.

"Perdagangan Malaysia bagi lima bulan pertama tahun ini mencatatkan pengurangan 8.7 peratus kepada RM688.57 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Perdagangan lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, India, China dan Hong Kong manakala dagangan dicatatkan meningkat dengan Korea Selatan dan Indonesia," kata kenyataan itu.

Selain itu, eksport bagi tempoh itu merosot 9.7 peratus kepada RM366.16 bilion dan import berkurang 7.5 peratus kepada RM322.41 bilion.

Jumlah eksport Malaysia bagi Mei kekal kurang memberangsangkan apabila jatuh 25.5 peratus berbanding Mei tahun lalu.

Ia sekali gus penurunan terburuk dalam tempoh lebih sedekad akibat impak pandemik Covid-19.

Prestasi itu selari dengan negara serantau lain yang turut merekodkan penurunan pertumbuhan perdagangan bulan lalu.

Ia berikutan Covid-19 yang terus memperlahankan aktiviti ekonomi secara global.

Miti berkata, jumlah perdagangan bulan lalu bernilai RM114.96 bilion susut 27.8 peratus berbanding Mei tahun lalu.

"Perdagangan lebih rendah direkodkan terutama dengan Singapura, Thailand, India, China, Jepun dan Indonesia.

"Eksport berjumlah RM62.69 bilion merosot 25.5 peratus manakala import berkurang 30.4 peratus kepada RM52.27 bilion.

"Berbanding April 2020, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing susut sebanyak 13.7 peratus, 3.2 peratus dan 23.6 peratus," katanya.

Miti berkata, eksport keluaran getah terutama sarung tangan getah mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi dua bulan berturut-turut meningkat 20.5 peratus atau RM461 juta pada Mei lalu.

Katanya, ia disumbangkan oleh peningkatan permintaan sarung tangan getah yang mendapat kelebihan daripada pandemik ini.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 7:30am
d