bisnes

Permudah buat ibadat

BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperkenalkan penggunaan Kod Respons Pantas (QR Code) e-Qurban untuk umat Islam sempena Aidiladha melalui DuitNow QR.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata Bank Muamalat adalah bank Islam pertama melancarkan inisiatif pembayaran e-Qurban melalui kod QR untuk memudahkan umat Islam menunaikan tuntutan agama dengan kerjasama Syria Care.

Katanya, inisiatif ini juga dilaksanakan selaras hasrat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperluaskan penggunaan DuitNow QR ke seluruh negara.

"Diharap inisiatif ini memberi manfaat kepada umat Islam tidak kira latar belakang mahupun tahap ekonomi kerana mereka ada peluang sama melakukan ibadat korban," katanya dalam satu kenyataan.

"Selain itu, kaedah ini juga mewujudkan situasi apabila semua hasil korban diagihkan secara adil kepada golongan memerlukan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, program Qurban4Syria adalah platform yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia melaksanakan ibadat korban di Syria melalui Syria Care.

"Malah, pelaksanaan projek Qurban4Syria tahun ini adalah penganjuran buat kali kelapan.

"Bagi penyertaan ibadat korban, Syria Care menyediakan dua kategori haiwan iaitu korban kambing dan lembu.

"Harga ditawarkan bagi kambing ialah RM1,100 seekor dan lembu RM5,950, seekor manakala satu bahagian lembu, RM850," katanya.

Syria Care amat menghargai inisiatif Bank Muamalat dan berharap ia mendapat perhatian orang ramai serta menjadikan kod DuitNow QR Bank Muamalat sebagai platform menyumbang dengan mudah.

Beliau berkata, sedekah sembelihan pula adalah satu lagi inisiatif yang dikendalikan oleh Syria Care untuk memberi peluang rakyat yang terhimpit dengan kemiskinan di sana menikmati hidangan daging pada Hari Raya.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 7:15am
d