bisnes

Jualan kereta naik tiga kali ganda

PERODUA catat jualan 21,250 kenderaan bagi Jun 2020, jualan bulanan tertinggi setakat tahun ini dan hampir tiga kali ganda jualan bulan lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, prestasi jualan itu susulan langkah kerajaan mengecualikan cukai jualan mewujudkan banyak manfaat.

"Pembeli menikmati harga kenderaan dikurangkan bagi Perodua, antara tiga hingga enam peratus sehingga akhir tahun ini.

"Peningkatan jualan kami berikutan penurunan harga membolehkan kami membantu ekosistem pembekal dan pengedar pada masa sukar ini.

"Setakat Jun sahaja kami membelanjakan hampir RM500 juta untuk membeli komponen tempatan," katanya menerusi satu kenyataan.

Perodua menjual 8,601 kenderaan pada Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa kepada penutupan operasinya selama dua bulan.

Perodua kembali beroperasi secara rasmi di seluruh negara pada 19 Mei lalu dan berjaya menjual 7,886 kenderaan sebelum akhir bulan terbabit.

"Kami juga melanjutkan waktu operasi pusat servis dan hab Badan & Cat (B&P) terpilih di seluruh negara," katanya.

Selain itu, jualan Perodua setakat tahun ini berjumlah sekitar 74,000 unit.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 7:20am
d