bisnes

Media Prima lebih berdaya tahan

Oleh Bisnes HM

MEDIA Prima Berhad (Media Prima) berada dalam landasan yang betul untuk menjadi syarikat yang lebih berdaya tahan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, Media Prima baru-baru ini melancarkan pendekatan jualan bersepadu melalui Media Prima Omnia, yang membolehkan kerjasama dengan jenama besar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, Kumpulan telah mempercepat fasa transformasi berikutnya yang membabitkan penambahbaikan kos dan kecekapan operasi dalam memberikan penyelesaian yang lebih efektif di platform medianya.

"Transformasi ini bertujuan menjadikan perniagaan kami lebih mantap dan mampan, serta terus memberikan yang terbaik kepada audien, pengiklan dan rakan kongsi kami.

"Secara keseluruhan, 2020 akan menjadi tahun yang menarik bagi Media Prima kerana banyak perubahan dan penambahbaikan akan dibuat daripada perspektif struktur, operasi dan keupayaan syarikat," katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 (AGM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mesyuarat itu diadakan secara maya sepenuhnya melalui siaran web secara langsung dan pengundian dalam talian menggunakan Remote Participation dan Voting Facilities.

Sementara itu, Pengerusinya, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid berkata, Media Prima akan mengkaji operasinya dan menyesuaikan diri untuk memastikan kemampanan.

"PKP yang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 telah menjejaskan banyak perniagaan sejak beberapa bulan lalu.

"Media Prima akan terus menumpukan perhatian dalam usaha untuk mengurangi kesan pandemik itu dan persekitaran operasi yang lebih sukar.

"Kami menjangka keadaan operasi yang sukar ini akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang dan akan terus mengkaji semula operasi untuk memastikan kelestarian kumpulan dalam waktu yang mencabar ini," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 6:04pm
d