bisnes

Pembeli M Adora dikecuali duti setem

PEMAJU hartanah terkemuka, Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) melancarkan projek pembangunan terbaharu, M Adora terdiri daripada dua menara kondominium kediaman setinggi 31 tingkat di Wangsa Melawati.

Dengan harga permulaan RM468,000 projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM378 juta itu turut tersenarai di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilancarkan kerajaan bermula 1 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang berkata, M Adora dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 1.8 hektar dan menawarkan 677 unit kediaman berkeluasan antara 850 kaki persegi hingga 1,200 kaki persegi.

Beliau optimis kediaman itu mampu menarik minat sasaran pembeli susulan kedudukannya yang strategik di tengah ibu kota dengan jarak kurang 10 kilometer dari KLCC.

"M Adora mempunyai jaringan akses yang baik, dihubungkan dengan beberapa laluan utama seperti Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Jalan Ampang serta Lebuhraya Duke.

"Projek ini juga terletak berhampiran kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) malah perkhidmatan bas perantara ke stesen LRT Sri Rampai turut tersedia.

"Apa yang lebih menarik, melalui penyertaan kami dalam HOC, pembeli akan mendapat manfaat pengecualian duti setem yang saya kira memberi penjimatan agak banyak untuk pembeli M Adora," katanya pada majlis pelancaran pembukaan galeri jualan kediaman itu di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 7:10am
d