bisnes

BSN komited bantu pelanggan terjejas Covid-19

Oleh Bisnes HM

BANK Simpanan Nasional (BSN) akan meneliti bantuan bersesuaian bagi pelanggannya yang terjejas berikutan wabak Covid-19.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, ia berikutan tempoh moratorium yang dijadualkan tamat pada September depan.

"BSN amat prihatin dan komited untuk terus membantu pelanggan kami terutamanya selepas tamat tempoh moratorium.

"Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban pelanggan kami khususnya bagi peminjam sedia ada dari sektor tertentu yang terkesan oleh Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya menggalakkan pelanggan mengunjungi cawangan BSN terdekat untuk mengemas kini maklumat peribadi.

Katanya, ia bagi memudahkan pihak bank menghubungi mereka.

Dalam pada itu, Yunos berkata, pelanggan yang menjangkakan kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman dan pembiayaan boleh berhubung terus dengan Pusat Hubungan Pelanggan BSN melalui talian 1-300-88-1900.

"Ia sebagai tindakan awal untuk memaklumkan kepada pegawai kami mengenai situasi yang dihadapi dan mendapatkan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Selain itu, beliau menegaskan BSN tidak melantik ejen atau pihak ketiga untuk bantuan selepas tamat tempoh moratorium ini.

"Pelanggan dinasihatkan untuk berwaspada dengan aktiviti penipuan scammers ," katanya.

Maklumat lanjut mengenai bantuan ini boleh didapati di www.mybsn.com.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 3:47pm
    d