bisnes

BSN teliti bentuk bantuan

BANK Simpanan Nasional (BSN) akan meneliti bantuan bersesuaian bagi pelanggannya yang terjejas berikutan wabak Covid-19.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, ia berikutan tempoh moratorium yang dijadualkan tamat September depan.

"BSN prihatin dan komited untuk terus membantu pelanggan kami terutama selepas tamat tempoh moratorium.

"Bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban pelanggan kami khususnya bagi peminjam sedia ada dari sektor tertentu yang terkesan oleh Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya menggalakkan pelanggan mengunjungi mana-mana cawangan BSN terdekat untuk mengemas kini maklumat peribadi.

Katanya, ia bagi memudahkan pihak bank menghubungi mereka.

Dalam pada itu, Yunos berkata, pelanggan yang menjangkakan kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman dan pembiayaan boleh berhubung terus dengan Pusat Hubungan Pelanggan BSN melalui talian 1-300-88-1900.

"Ia sebagai tindakan awal untuk memaklumkan kepada pegawai kami mengenai situasi yang dihadapi dan mendapatkan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Selain itu, beliau menegaskan, BSN tidak melantik ejen atau pihak ketiga untuk bantuan selepas tamat tempoh moratorium.

"Pelanggan dinasihatkan berwaspada dengan aktiviti penipuan scammers," katanya.

Maklumat lanjut mengenai bantuan ini boleh didapati di www.mybsn.com.my.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 7:20am
d