bisnes

Bank Rakyat lantik ahli Lembaga Pengarah baharu

Oleh Bisnes HM

BANK Rakyat mengumumkan pelantikan dua ahli Lembaga Pengarah yang baharu iaitu Datin Norhamizah Mat Tahir dan Mohd Jafri Kudus berkuat kuasa 13 Julai lalu.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman serta kepimpinan mereka dalam bidang keusahawanan dan teknologi yang dijangka akan memberi nilai tambah bagi memacu bank itu mencapai hasrat yang diaspirasikan dalam pelan jangka panjang Bank Rakyat 2025.

Norhamizah adalah usahawan wanita yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Norhamizah Tahir Associate Sdn Bhd dan telah berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak 16 tahun lalu.

Beliau juga menyandang jawatan sebagai Pengarah di DSDM Rezki Sdn Bhd.

Sementara itu, Mohd Jafri yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri teknologi dan telekomunikasi pula adalah Pengarah Eksekutif di Strovi Dox Sdn Bhd serta Perunding Pembangunan Perniagaan di Antah SNC Homeland Security Sdn Bhd.

"Bank Rakyat mengalu-alukan penyertaan dua ahli Lembaga Pengarah baharu ini untuk bersama-sama menerajui Bank menerusi pengalaman yang dimiliki bagi meneruskan legasi kecemerlangannya sebagai bank koperasi Islam terbesar di Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 9:11pm
d