bisnes

Anugerah vendor kontrak RM16.9b

Oleh BERNAMA

TENAGA Nasional Bhd (TNB) menganugerahkan kontrak terkumpul berjumlah RM16.9 bilion kepada syarikat vendor di bawah Program Pengilang dan Kontraktor Bumiputeranya (PPKB) dari 1995 hingga tahun lalu.

Ketua Pegawai Perolehannya, Amir Mahmod Abdullah berkata, ia membabitkan 822 syarikat merangkumi 32 vendor di bawah kategori pembekal dan 790 vendor di bawah kategori kontraktor.

"Bagi tahun ini pula jumlah kontrak yang akan dikeluarkan tertakluk kepada permohonan pihak kami kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) yang mana permohonan baharu masih dipertimbangkan.

"Namun kami membelanjakan RM7 bilion bagi perbelanjaan modal untuk projek baharu kerja infrastruktur dan pembangunan baharu bagi tahun ini," katanya selepas majlis pelancaran Program Peningkatan Kemahiran bagi Kontraktor TNB di sini, semalam yang dilancarkan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian, Seksyen Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Azrilah Abdul Aziz.

Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya berkata, inisiatif program itu bertujuan meningkatkan kemahiran kontraktor menerusi peningkatan tahap kompetensi dari segi kemahiran dan keupayaan teknikal mereka.

"Ini juga bagi memastikan kerja yang dilaksanakan adalah berkualiti serta mengikut prosesur dan piawaian kejuruteraan yang ditetapkan.

"Ia juga sejajar komitmen TNB yang sentiasa berusaha untuk membangunkan vendor PPKB selaras hasrat negara membina dan memperkasakan sektor perdagangan dan perindustrian," katanya.

Beliau berkata, TNB memainkan peranannya sebagai syarikat induk dalam usaha membangunkan vendor khususnya dalam kalangan Bumiputera sejak lebih suku abad lalu yang mana manfaat daripadanya dapat dinikmati.

Menyentuh mengenai nilai kontrak RM16.9 bilion yang dimanfaatkan syarikat tempatan, Mahdzir berkata, ia sekali gus dapat merancakkan ekonomi termasuk bidang bekalan, peruncitan dan penyediaan peluang pekerjaan.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 6:56am
d