bisnes

Dapur pusat daging salai

MULA menjalankan perniagaan dari rumah, kini Ummi Auni Enterprise memiliki dapur pusat yang mampu menghasilkan sehingga 30,000 pek produk sebulan.

Pengasasnya, Siti Syuhaida Ramli berkata, pihaknya bercadang meningkatkan kapasiti pengeluaran melalui penambahan mesin pemprosesan.

Katanya, dengan bermodalkan wang simpanan RM3,000, dia memulakan perniagaan menjual daging salai sejuk beku yang kini sudah lima tahun berada di pasaran.

"Saya tak sangka keluaran Auni Homemade mendapat sambutan. Pada awalnya, saya hanya beroperasi di rumah sebelum membuka dapur berpusat di Senawang bagi memenuhi permintaan.

"Setakat ini, kami ada stokis serta kira-kira 300 ejen di seluruh Malaysia. Selain daging salai, sambal kentang bilis juga mendapat permintaan tinggi," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak merancang menembusi pasaran pasar raya namun mengetengahkan konsep kongsi rezeki melalui sistem ejen dan stokis.

Siti Syuhaida berkata, berikutan permintaan tinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, pihaknya mencuba mendapatkan bantuan bagi membeli mesin.

"Kami perlu sekurang-kurangnya modal RM100,000 bagi pembelian mesin untuk tambahan kapasiti dan cool room," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 7:10am
d