bisnes

Angkasa, redONE jalin kerjasama

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menjalin kerjasama dengan red ONE Network Sdn Bhd (redONE) bagi menyediakan peluang buat usahawan koperasi di negara ini berkecimpung dalam perniagaan berasaskan industri telekomunikasi.

Di bawah jenama redCOOP, kerjasama itu membolehkan perniagaan koperasi dalam bidang telekomunikasi redONE dijalankan, sekali gus memberi nilai tambah kepada pendapatan menerusi beberapa produk khusus yang diperkenalkan.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama itu ke arah merancakkan lagi ekonomi sektor koperasi dalam bidang digital sebagai menyahut seruan kerajaan terhadap Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Katanya, lima koperasi sudah menyertai program itu setakat ini dan pihaknya berharap lebih banyak koperasi akan tampil memanfaatkan peluang itu.

"Kerjasama ini sebenarnya terjalin sejak lebih dua tahun lalu dalam usaha mempelbagaikan cabang industri yang boleh diterokai koperasi untuk perniagaan mereka.

"Kami mempunyai lebih 10,000 koperasi yang bernaung di bawah Angkasa, jadi saya yakin bukan hanya lima, tetapi banyak lagi koperasi akan tampil untuk menceburi perniagaan berasaskan teknologi ini yang saya kira berimpak tinggi dengan hasil industri ini difahamkan mencecah RM23 bilion setahun," katanya.

"Apa lagi dengan produk yang direka khas untuk anggota koperasi khususnya penjawat awam dan kakitangan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), ini tentunya memberi nilai tambah kepada pendapatan koperasi dan anggota," katanya pada sidang media selepas merasmikan program terbabit serentak memperkenalkan produk Mukmin50+ dan Flexi68+ untuk sektor koperasi oleh redONE diiringi Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Mohammad Farid Mohamed Yunus.

Sementara itu, Mohammad Farid berkata, pihaknya menyasar 100 koperasi akan menyertai program itu menjelang akhir tahun depan.

Bagi menjayakan sasaran terbabit, sebanyak 2,000 maklumat program terbabit akan diedarkan kepada 200 koperasi terbaik untuk menguar-uarkan pakej yang disediakan menerusinya.

"Setakat ini kira-kira 20 koperasi sudah menyatakan minat mereka untuk menyertai redCOOP dan kita jangka sekurang-kurangnya lima peratus daripada jumlah naskah yang diedarkan akan kembali kepada kita bersama penyertaan.

"Kita juga ada produk khusus iaitu pelan pascabayar Mukmin50+ dan Flexi68+ untuk penjawat awam dan kakitangan GLC di mana untuk produk ini, redONE menyasar 10 peratus daripada enam juta ahli koperasi atau sekurang-kurangnya 500,000 akan melanggan," katanya.

Mohammad Farid berkata, susulan program terbabit, pihaknya turut menyasarkan pengguna redONE meningkat kepada 1.5 juta menjelang akhir 2020 berbanding 1.2 juta orang pada masa ini.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 7:00am
d