bisnes

Bincang awal untuk mudahkan lanjutan moratorium

Oleh Bisnes HM

PERSATUAN Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menggesa peminjam yang menghadapi masalah kewangan dalam memenuhi komitmen hutang mereka untuk menghubungi bank masing-masing untuk rundingan pilihan bantuan pembayaran balik antara 7 Ogos dan 7 September 2020.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua persatuan berkata, peminjam dinasihati memohon bantuan itu lebih awal bagi memberi masa mencukupi untuk membincangkan dan mengesahkan pilihan supaya bantuan pembayaran dilakukan tepat pada waktunya untuk ansuran bulan Oktober 2020.

"Peminjam/pelanggan digalakkan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada laman web bank atau platform media sosial rasmi bank-bank berkenaan.

"Bank akan menghubungi peminjam/pelanggan namun kami menasihati agar berhati-hati dengan taktik penipuan dan hanya respons menerusi saluran bank yang rasmi saja," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan tiga bulan moratorium pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 berikutan impak pandemik Covid-19 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pendekatan bersasar untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mereka yang bekerja sendiri.

Ia berkata, peminjam juga dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan pihak ketiga yang mengaku sebagai ejen atau wakil bank bagi perkara berkaitan bantuan pembayaran balik.

Selain itu, industri perbankan menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menamatkan moratorium itu dan mengambil pendekatan pemberian bantuan secara bersasar.

"Industri perbankan telah bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk memastikan bantuan terus disampaikan kepada peminjam yang terjejas.

"Bank-bank telah memberi sokongan kepada peminjam/pelanggan melalui persekitaran ekonomi yang mencabar semenjak bermulanya penularan Covid-19 dan akan terus membantu peminjam/pelanggan," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 9:09pm
d