bisnes

Khairul Anuar kini CEO Rangkaian Televisyen Media Prima

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MEDIA Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu terulung di Malaysia mengumumkan pelantikan Datuk Khairul Anwar Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Beliau akan melaporkan diri kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Iskandar berkata, Khairul Anwar adalah tokoh terkenal dalam industri media dan hiburan serta mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam penyampaian kandungan menarik diketahui dan disukai oleh rakyat Malaysia.

"Kami berbesar hati menerima kehadirannya ketika kami mempercepatkan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya.

"Kami yakin beliau akan memberikan sumbangan besar kepada kumpulan terutamanya pada masa yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Anwar berpengalaman selama 25 tahun dalam industri media dan hiburan merangkumi produk seni, televisyen dan pentas sehingga pengurusan kandungan dalam bidang keusahawanan serta korporat.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden Perniagaan Kandungan Melayu dan Nusantara di Astro Malaysia Holdings Berhad sejak Mac 2010.

Sorotan kerjayanya termasuk membentuk semula industri hiburan dengan rancangan istimewa seperti Maharaja Lawak dan Gegar Vaganza dan beberapa filem pecah panggung iaitu Hantu Kak Limah, Paskal serta Polis Evo 2.

Beliau juga pernah memenangi pelbagai anugerah di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk 'Malaysian Book of Records for Longest Non-Stop Live Comedy Show 2014', Anugerah Seri Angkasa 2005 untuk 'Program Komedi Terbaik' Ada-Ada Saja dan finalis di New York Festivals 2001 untuk Anugerah Planet Music 2000.

Selain itu, beliau juga memenangi 'Drama atau Telemovie Single Terbaik' di Asian TV Awards bagi Tulus Ikhlas pada 2016 dan Ana Anak Ibu (Sangat Dipuji) pada 2017.

Khairul Anwar memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Arca) dari Curtin University of Technology, Australia Barat di mana beliau juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif The Cultural Economy Development Agency (Cendana).

Disiarkan pada: July 31, 2020 @ 5:13pm
d