bisnes

'Usah diam jika tak mampu bayar'

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

TEMPOH moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan menjadi jalan tengah yang rasional kerana turut mengambil kira kesihatan kewangan institusi perbankan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, moratorium ini ada kesan sampingan kepada bank terutama dari aliran tunai dan keuntungan.

Namun, katanya, kedudukan institusi perbankan masih kukuh dengan tahap kecairan dan kecukupan modal tinggi serta membolehkan bank meneruskan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa.

"Langkah lanjutan moratorium ini lebih bersasar kepada golongan yang kehilangan pekerjaan, gaji dikurangkan serta mereka yang terkesan akibat Covid-19.

"Bagi rakyat Malaysia yang ada pembiayaan sedia ada dengan institusi perbankan, saya sarankan tampil berjumpa dengan pihak bank secepat mungkin sekiranya ada masalah kewangan.

"Jangan berdiam diri kerana ini boleh menimbulkan salah faham oleh pihak bank," katanya.

Menurutnya, peminjam perlu terus jumpa dengan bank dan bersikap telus dalam menerangkan kedudukan kewangan dan keadaan peribadi mereka.

"Penstrukturan dan penjadualan semula hutang sedia ada boleh menjadi penyelesaian bagi peminjam terutama bagi meringankan beban kewangan mereka.

"Bagi mereka yang mampu, saya sarankan membayar seperti biasa," katanya.

Kerajaan mengumumkan melanjutkan moratorium bersasar selama tiga bulan selepas tempoh moratorium berakhir September ini.

Lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu membabitkan dua golongan sasaran, iaitu individu yang kehilangan pekerjaan dan individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat penularan Covid-19.

Selain individu, lanjutan berkenaan turut terpakai untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mereka yang bekerja sendiri.

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 7:10am
d