bisnes

Teroka cabang baharu penjagaan kesihatan

PEMAJU hartanah Mah Sing Group Bhd meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam penjagaan kesihatan menerusi cabang pembuatan plastiknya Mah Sing Plastics Industries Sdn Bhd (MSPI).

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini MSPI menggunakan kaedah untuk memproses plastik dikitar semula menjadi palet berkualiti supaya lebih mesra alam.

Beliau berkata, ini mencerminkan komitmen syarikat untuk mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula bagi ekosistem yang lestari.

"Ketika ini, kami masih berada di peringkat awal perancangan. Bagaimanapun, kami teruja meneroka bahagian pertumbuhan baharu dalam penjagaan kesihatan.

"Kami mahu mencari peluang dalam pengeluaran produk penjagaan kesihatan. Kami berhasrat untuk memanfaatkan rekod prestasi baik dan kepakaran MSPI sebagai pengeluar plastik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Leong berkata, segmen plastik terus memberi sumbangan positif kepada prestasi kumpulan dengan mencatatkan hasil sebanyak RM76.1 juta dan keuntungan operasi RM3.34 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac lalu.

Bahagian plastik mempunyai pasukan pengurusan berasingan.

Ketika ini, ia tidak memerlukan suntikan perbelanjaan modal daripada syarikat induk.

"Bahagian plastik Mah Sing merangkumi operasi di Malaysia dan Indonesia dan menjadi anak syarikat milik penuh kumpulan manakala operasi di Indonesia adalah anak syarikat dimiliki 65 peratus," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 7:30am
d