bisnes

Kutip bayaran balik RM62.8b

NILAI moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan sejak berkuat kuasa pada 1 April 2020 sehingga 24 Julai 2020 dianggarkan berjumlah RM62.8 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, RM21.9 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala nilai yang dimanfaatkan oleh rakyat pula berjumlah RM40.8 bilion.

"Pada 29 Julai lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium selama tiga bulan lagi sehingga 31 Disember serta bantuan bank bersasar.

"Bantuan ini adalah berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan iaitu individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu serta individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19," katanya dalam perkongsian Laporan Laksana Ke-15 pelaksanaan Prihatin dan Penjana menerusi Facebook, semalam.

Tengku Zafrul berkata, di samping itu, institusi perbankan juga telah memberikan komitmen untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sama ada peniaga, penjaja atau yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat Covid-19.

"Lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar ini diharapkan dapat membantu individu yang masih terkesan untuk keluar daripada krisis kewangan, menyokong perniagaan yang terjejas untuk meneruskan operasi dan seterusnya melonjakkan semula ekonomi negara," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 6:55am
d