bisnes

Proton rekod jualan bulanan tertinggi

PROTON Holdings Berhad (Proton) merekodkan jualan bulanan tertinggi dalam tempoh lapan tahun apabila menjual 13,216 unit kenderaan pada Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jualan tertinggi sejak Jun 2012 itu turut memberi impak positif kepada Proton dengan menyaksikan jenama automotif Malaysia sekali lagi menguasai pasaran dengan menyumbang 63.2 peratus jumlah jualan bulan lalu.

"Jualan kereta di Malaysia terus meningkat pada Julai, di mana gabungan antara insentif jualan tanpa cukai dan permintaan pengguna telah mendorong kenaikan jumlah keseluruhan industri (TIV) tertinggi dalam tempoh 13 bulan.

"Proton meraih manfaat daripada peningkatan TIV di mana empat model kami mencatat jualan tertinggi dalam segmen masing-masing pada Julai.

"Ia digambarkan dengan peningkatan jualan keseluruhan masing-masing sebanyak 37.3 peratus dan 45.7 peratus, berbanding Jun 2020 dan Julai 2019," katanya dalam kenyataan, semalam.

Proton meraih jualan lebih tinggi pada Julai berbanding 9,623 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya dan 9,072 unit berbanding Julai 2019.

Menurutnya, empat model Proton berjaya mendahului jenama lain di dalam segmen masing-masing dengan Proton Saga sekali lagi mencatat jualan tertinggi dan menjadi pilihan utama dalam pasaran sedan segmen A.

"Sebanyak 5,421 unit berjaya dijual pada Julai, termasuk 1,100 unit Saga Edisi Ulang Tahun yang habis ditempah dalam masa hanya lima hari selepas dilancarkan pada 9 Julai lalu. Jumlah ini juga adalah tertinggi yang dicatatkan oleh model ini sejak April 2014.

"Selain itu, Proton X70 turut menunjukkan prestasi yang lebih baik. Dengan jualan sebanyak 3,087 unit, kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C premium ini bukan saja mencapai jualan bulanan terbaik, malah terus menjadi SUV terlaris di Malaysia dengan peningkatan pegangan pasaran sebanyak 25.6 peratus, 4.3 peratus lebih tinggi berbanding 2019," katanya.

Roslan berkata, dua lagi model terlaris Proton iaitu Persona dan Exora, masing-masing merekodkan jualan sebanyak 3,043 unit dan 792 unit pada Julai.

"Jualan Proton pada Julai menunjukkan prestasi terbaik kami dalam tempoh lebih lapan tahun. Kami berbangga dengan pencapaian model syarikat di dalam setiap segmen.

"Kami juga mendapati terdapat kesan positif dalam aspek perniagaan lain yang turut membantu dalam peningkatan jualan.

"Sebagai contoh, Proton Commerce, penyedia pembiayaan kenderaan dalaman syarikat yang mencatat peningkatan jumlah pinjaman sebanyak 100 peratus berbanding bulan sebelumnya," katanya.

Mengenai jualan Ogos, katanya, Proton akan terus berusaha memberi tawaran menarik kepada pasaran dan merangsang jualan sebagai persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model pada akhir tahun ini.

"Bahagian pengeluaran, kualiti, jualan dan selepas jualan syarikat sedang bekerja keras untuk memastikan agar kami dapat memenuhi permintaan pelanggan serta memberikan tahap perkhidmatan pelanggan yang bersesuaian seperti ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 7:00am
d