bisnes

Baik pulih landasan ketiga KLIA selesai

KERJA pemulihan landasan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memastikan keselamatan berterusan bagi operasi penerbangan selesai dilaksana.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, kerja penyelenggaraan menyeluruh dijalankan mengikut Pelan Induk Kemampanan Landasan KLIA.

"Walaupun langkah kawalan kos dilaksanakan secara agresif susulan kesan Covid-19 terhadap industri penerbangan namun pihaknya meneruskan pelaburan misi penting seperti penggantian aset lama serta kerja pemulihan landasan.

"Penyiapan kerja pemulihan di Landasan 3 itu tepat pada masanya seiring dengan kita mulai menyaksikan keyakinan semakin bertambah terhadap keselamatan perjalanan udara dan jumlah trafik meningkat tiga kali ganda dibandingkan pada bulan sebelumnya.

"Kami juga akan memulakan fasa kedua Pelan Induk Kemampanan Landasan iaitu dengan kerja di Landasan 1 bermula November ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, kerja pemulihan merangkumi penurapan dan menambah baik panyaliran bagi permukaan landasan.

"Bagi memastikan kelancaran operasi penerbangan, sepanjang masa, kami turut mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak berkepentingan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), syarikat penerbangan dan syarikat pengendalian darat," katanya.

"Sebaik saja selesai kerja-kerja penyelenggaraan, CAAM telah melakukan kerja-kerja penentukuran dan pemeriksaan untuk menilai kesediaan infrastruktur serta memastikan landasan tersebut memenuhi semua garis panduan keselamatan dan peraturan antarabangsa untuk operasi penerbangan," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 7:00am
d