bisnes

Sayuran segar dari Cameron Highlands

TRIPLE S&N Resources, pembekal produk sayuran segar terus dari Cameron Highlands merancang membuka dua lagi cawangan Al-Falaq Fresh Veg Mart menjelang suku ketiga tahun ini.

Pengasasnya, Nursirajudin Alaudin berkata, pada masa ini pihaknya memfokus cawangan Al-Falaq Fresh Veg Mart di Sunway Batu Caves yang menjual sayuran segar.

Katanya, perniagaan ini diwujudkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan setakat ini ada lebih 30 jenis sayuran segar dijual di pasar raya mini kendaliannya.

"Berikutan permintaan menggalakkan, kami merancang membuka cawangan kedua di Klang pada Ogos ini dan di Kajang menjelang September depan.

"Kami menjaga kualiti sayur yang dijual kerana kami memilih sendiri sayuran di ladang di Cameron Highlands dan terus menjualnya kepada pelanggan dan peruncit.

"Ketika PKP, kami banyak menjual sayuran segar ini secara dalam talian khususnya di media sosial dan selepas dua bulan, kami berjaya membuka Al-Falaq Fresh Veg Mart," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain menjual sayuran menjelang tahun depan pihaknya juga akan mempelbagaikan lagi produk iaitu ayam kampung dan ayam Belanda organik.

Sementara itu, Pengasas Bersama, Siti Hasmah Mohrdeen berkata, pihaknya bersedia memberi khidmat rundingan percuma untuk mereka yang berminat mengusahakan perniagaan sayur segar ini.

"Kami menawarkan kepada sesiapa berminat menjadi rakan niaga Al-Falaq dengan mengguna pakai model perniagaan sama seperti syarikat namun lokasi ditentukan sendiri oleh mereka," katanya.

Harga sayur segar di Al-Falaq Fresh Veg Mart dijual pada harga bermula RM2 dan lebih kompetitif biarpun diambil terus dari Cameron Highlands.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 7:15am
d