bisnes

PUNB beri diskaun sewa 50 peratus

Oleh Bisnes Metro

PERBADANAN Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan diskaun 50 peratus bagi pembayaran sewa untuk semua 220 premis perniagaan miliknya di seluruh negara selama tiga bulan bermula Oktober depan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, diskaun itu lanjutan inisiatif PUNB susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu yang memberi pengecualian pembayaran sewa berjumlah RM1.3 juta.

"Sepanjang April hingga September ini, PUNB memberi pengecualian pembayaran sewa secara automatik kepada semua penyewa membabitkan jumlah kutipan RM5.3 juta.

"Kini, kami beri diskaun 50 peratus untuk tempoh tiga bulan sebaik pengecualian pembayaran sewa berakhir September ini. Diharap ia dapat mengurangkan beban penyewa dalam fasa pemulihan" katanya.

Bagaimanapun, pihaknya bersedia mempertimbang lebih diskaun buat penyewa bergantung kepada rekod pembayaran masing-masing sebelum PKP.

"Jika usahawan tidak mampu meneruskan pembayaran susulan kesan pandemik Covid-19, mereka boleh tampil dan kemukakan rayuan.

"Namun, ia bergantung kepada rekod pembayaran sebelum PKP apabila kelonggaran dipertimbangkan jika mereka ada rekod pembayaran baik sebelum April lalu," katanya selepas sesi lawatan ke premis perniagaan milik PUNB di Pusat Industri Sri Rampai di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 7:10am
    d