bisnes

Umum pelantikan baharu

BEKAS Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas DRB-Hicom Bhd mulai 1 Ogos.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, konglomerat automotif itu berkata, Wan Zulkiflee mempunyai pengalaman luas di sektor minyak dan gas serta ketika ini memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd dan Malaysia Aviation Group Bhd sejak 1 Julai lalu.

"Wan Zulkiflee memulakan kariernya di Petronas pada 1983 sebagai jurutera proses yang terbabit dalam pembangunan beberapa loji pemprosesan gas.

"Seterusnya, tahun-tahun berikutnya Wan Zulkiflee memegang pelbagai jawatan dalam kumpulan Petronas," katanya.

Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melantik bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif bermula semalam menggantikan Tan Sri Datuk Zainun Ali.

Dr Zambry adalah Ahli Dewan Undangan Pangkor (2004 sehingga sekarang) dan bekas Menteri Besar Perak (2009-2018), memiliki Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Temple dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Adjung di Jabatan Sains Politik (UIAM), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Minda serta CEO di Pusat Pengajian Kepimpinan dan Pembangunan.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 7:15am
d