bisnes

LANGKAWI JADI HAB NEGARA

Oleh Hamzah Osman

PULAU Langkawi diisytiharkan sebagai hab coklat negara bagi merancakkan pembangunan sektor hiliran koko dan tarikan pelancong ke pulau itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu seiring hasrat kementerian menjadikan Malaysia sebagai raja coklat di rantau Asia.

"Langkawi menerima sejumlah besar pelancong dari seluruh dunia dan ia sesuai untuk menjadi pemangkin kepada promosi produk coklat buatan tempatan.

"Konsepnya adalah kita menyediakan rangkaian niaga setempat yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pembuatan dan penjualan coklat.

"Sebagai langkah awal, setiap peserta akan menerima bantuan geran sebanyak RM3,000," katanya selepas menutup Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan dan Pelancaran Hab Coklat Langkawi di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Pengajian Tinggi negeri, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ee.

Mohd Khairuddin berkata, sebagai nilai tambah kepada hab itu, Muzium Coklat akan dibangunkan syarikat swasta dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Projek itu dalam proses perbincangan dengan tapaknya dikenal pasti di kawasan berhampiran produk pelancongan popular SkyCab," katanya.

Menurutnya, sektor pembuatan coklat dan produk koko mencatat pendapatan nilai eksport RM1.14 bilion iaitu 17.3 peratus pada 2019, peningkatan 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 7:00am
d