bisnes

Petronas tak buang pekerja

Oleh Mahanum Abd Aziz dan Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Petronas memberi jaminan tidak akan melaksanakan pembuangan pekerja meskipun berdepan dengan prestasi mencabar ketika ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kumpulan bagaimanapun akan melihat jika terdapat keperluan melaksanakan pemotongan gaji.

"Tidak ada pembuangan pekerja kerana kami ibarat sebuah keluarga. Walaupun berdepan dengan kekangan kewangan tetapi kami masih mengekalkan prestasi semasa.

"Mengenai pemotongan gaji pula, kami sedang melihat perkara itu dan masih dalam pertimbangan akhir. Masih tiada keputusan. Segala keputusan mengenai pemotongan gaji akan disampaikan terlebih dulu kepada kakitangan kami," katanya selepas pengumuman prestasi kewangan separuh pertama 2020 Petronas di sini, hari ini.

Tengku Muhammad Taufik berkata, sebagai tindak balas prestasi kurang memberangsangkan kumpulan, Petronas mengambil langkah segera mengendalikan serta mengukuhkan ketahanan dan memastikan kelangsungan jangka masa panjangnya.

Beliau berkata, Petronas komited mengambil semua langkah yang diperlukan untuk pemulihan termasuk penyusunan semula portfolio serta modal insan.

Katanya, ketika pandemik Covid-19 juga, Petronas terus memainkan peranan penting dan sentiasa memastikan keselamatan kakitangan menjadi keutamaan.

"Operasi perniagaan kumpulan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkepentingan yang lain serta mengikuti prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 6:43pm
d