bisnes

Peluang akses kewangan sama rata

MESKIPUN Malaysia mencatatkan kemajuan yang cukup besar dalam penerapan aplikasi teknologi kewangan (fintech) ke arah penyertaan kewangan, kerajaan akan mempertimbang mengkaji semula dasar sedia adanya bagi menangani beberapa isu dalam sektor ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, ini termasuk dasar bagi mengatasi jurang teknologi antara generasi, ketersediaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengguna pakai perkhidmatan kewangan digital serta memajukan ekonomi halal menerusi platform digital.

Menurut Mohd Shahar, lebih daripada 85 peratus populasi Malaysia berusia 15 tahun ke atas mempunyai akses ke akaun kewangan.

"Izinkan saya memberi jaminan kepada anda kerajaan komited memastikan setiap warganya mempunyai peluang yang sama untuk mengakses perkhidmatan kewangan," katanya dalam ucaptamanya sebelum melancarkan laporan Bank Dunia mengenai Islamic Finance and Financial Inclusion in Malaysia dan Memanfaatkan Teknologi Kewangan (Fintech) Untuk Meningkatkan Penyertaan Kewangan di sini, semalam.

Acara itu diadakan secara maya sempena Forum Kemampanan dan Keterangkuman Kewangan dalam talian selama empat hari, anjuran bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia bermula kelmarin.

Menurut Mohd Shahar, Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai perintis global dalam kewangan Islam, menguasai 20 peratus daripada aset kewangan Islam global pada 2019.

Beliau berkata, negara turut mengekalkan kedudukannya sebagai penerbit sukuk teratas menguasai 36.8 peratus daripada jumlah tertunggak sukuk global pada 2019.

"Beberapa faktor yang menyumbang kepada pencapaian ini seperti pelaksanaan inisiatif merangkumi perbankan, takaful/insurans, pasaran modal dan kewangan alternatif dikenal pasti oleh kesinambungan dan kerjasama dasar dalam kalangan kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan yang berlainan dalam satu jangka waktu," katanya.

Selain itu, beliau berkata rangka kerja sedia ada untuk kewangan sosial Islam yang telah dimanfaatkan secara berkesan dalam menghubungkan wakaf, zakat dan sedekah dengan insitusi kewangan bagi meningkatkan capaian dan pengumpulan dana mereka.

"Tidak dapat dinafikan strategi kita mendalami pasaran kewangan Islam turut menyumbang kepada pencapaian memberangsangkan Malaysia dalam petunjuk keterangkuman kewangan global," katanya.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, setakat ini, institusi kewangan Islam di Malaysia telah mengumpulkan hampir RM40 juta menerusi platform wakaf dan sedekah bagi membiayai projek-projek berkaitan penjagaan kesihatan, pendidikan dan keusahawanan.

"Inisiatif kewangan sosial dilaksanakan dengan memanfaatkan mekanisme infrastruktur, kepakaran dan akauntabiliti sedia ada dalam lingkungan sektor kewangan Islam.

"Lebih daripada 10 saluran berbeza tersedia untuk membolehkan kutipan dan pengagihan dana kewangan sosial termasuk melalui kaedah pembayaran digital," katanya. - Bernama

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 6:57am
d